Rafizi Ramli

SUNGAI PETANI – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa wakil rakyat dan pemimpin parti itu yang dilantik memegang jawatan di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri agar tidak mengabaikan peranan yang perlu dimainkan dalam parti.

Rafizi berkata, beliau faham mengenai tanggungjawab yang perlu dilakukan dalam kerajaan, namun pemimpin PKR perlu sedar jika tidak kerana parti, ahli serta jentera parti, mereka tidak akan menang pilihan raya dan mendapat jawatan dalam kerajaan.

Katanya, wakil rakyat dan pemimpin yang dilantik sama ada ke jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik perlu bijak membahagikan masa dan perkara sama perlu dilakukan oleh mereka yang memegang jawatan di peringkat kerajaan negeri.

“Kadang-kadang kita terbawa-bawa dengan urusan kementerian semata-mata, kita kerja di kementerian ataupun di kerajaan negeri dari 8 pagi sampai 6 petang secara rasmi, kita masih lagi ada masa dari 6 petang hingga 12 tengah malam setiap hari dan ada masa lagi pada Sabtu dan Ahad untuk parti dan juga rakyat,” katanya semasa berucap pada Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Kedah dan Pulau Pinang, di sini, malam tadi.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, mereka yang dilantik ke pelbagai jawatan dalam kerajaan juga perlu mengekalkan gaya dan pembawaan diri semasa parti menjadi pembangkang sebelum ini dengan sentiasa mendekatkan diri dengan rakyat.

“Wakil rakyat sedia ada, tanggungjawab kita bukan sahaja tengok dan buat kerja tetapi kena pastikan kandungan dan cara kita buat kerja itu kena dengan cara dan citarasa rakyat,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan mana-mana ahli parti itu yang berhasrat menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri akan datang agar memikirkan cara yang betul untuk menyantuni rakyat.

Dalam pada itu, Rafizi menegaskan, PKR perlu mempertahankan lima kerusi tradisi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah yang dimenangi sejak 2008 iaitu Sidam, Bakar Arang, Bukit Selambau, Kulim dan Lunas.

Bagaimanapun, beliau mengakui wujud risiko dan cabaran besar kepada PKR untuk mengekalkan kerusi berkenaan berikutan peralihan sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast