Amran Mustaffa, 58 mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.

KUANTAN – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Sentral, Bandar Pusat Jengka, Pahang menukar pengakuan tidak bersalah  atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi tujuan pengeluaran sijil pengajian dan transkrip pembelajaran tanpa mengikut prosedur lapan tahun lalu.

Amran Mustaffa, 58 mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan pada April 2022 sebelum ini, bapa kepada 11 anak itu didakwa menerima suapan berjumlah RM5,000 daripada Muhammad Izhar Ismail menerusi dua transaksi di Bank CIMB Berhad cawangan Jerantut pada 21 dan 24 Oktober 2015.

Jumlah tersebut diterimanya melalui pengurus sebuah syarikat ejen, Noralyra Ismail sebagai upah untuk mengeluarkan sijil dan transkrip program asasi sains di kolej tersebut bagi individu yang tidak berdaftar sebagai pelajar di Kolej Sentral.

Oleh itu, dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Susulan pengakuan bersalah tertuduh hari ini, peguambela, Ariff Azami Hussein memohon hakim supaya mempertimbang hukuman ringan terhadap anak guamnya.

Katanya, tertuduh telah banyak memberi sumbangan kepada masyarakat yang diperakui berdasarkan beberapa lampiran sijil yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pahang selain bergiat aktif dengan Pejabat Agama Islam Jengka.

Selain itu, katanya, anak guamnya yang melakukan kesalahan kali pertama itu juga telah kesal dengan perbuatannya dan mempunyai 11 orang anak dalam tanggungan.

Justeru, menurut Ariff, kepentingan awam akan tetap terpelihara jika anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara dan dikenakan denda sahaja.

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah denda RM8,000 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan pilihan pertama dan denda RM7,000 atau enam bulan penjara untuk pertuduhan pilihan kedua.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Riffah Izzati Abdul Mutalif.- MalaysiaGazette