Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Peguam Amin Othman bercakap kepada media ketika di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mengemukakan hampir 20 saksi bagi mencabar kemenangan Pas di Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas dakwaan rasuah.

Peguamnya, Amin Othman yang akan mewakili BN Terengganu berkata, pihaknya telah memfaikan kes itu di Mahkamah Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu.

Amin dari tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berkata, jumlah saksi berkenaan mencukupi bagi mencabar kemenangan Pas di ketiga-tiga Parlimen tersebut.

“Bagi petisyen Marang terdapat satu video tular yang mana pengundi telah berjumpa seorang yang kita kenal pasti sebagai ahli jawatankuasa Pas Marang telah memberi wang sogokan untuk mendapatkan undi. Beliau telah mengarahkan penerima wang untuk mengikrarkan ‘wallahi saya undi Pas’.

“Petisyen Kuala Terengganu terdapat beberapa dakwaan isu sogokan kepada pengundi luar. Terdapat dakwaan jamuan Deepavali ketika tempoh berkempen PRU15.

“Bagi petisyen Kemaman juga isu sama pengundi luar menerima wang sogokan sebagai balasan undi kepada Pas. Dakwaan tersebut kami masukkan dalam pestiyen ini.,” katanya dalam sidang media hari ini.

Amin berkata, para saksi mengaku diberikan wang antara RM50 hingga RM150 bagi memilih calon Pas.

Tambah beliau, turut dimasukkan dalam petisyen adalah tindakan Kerajaan Negeri Terengganu yang memberi wang tunai untuk program i-Siswa dan i-Belia kepada rakyat ketika PRU15.

Beliau menegaskan, petisyen dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November 2018 yang membatalkan kemenangan calon BN berikutan amalan rasuah.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang turut hadir berkata, saksi yang terdiri daripada belia 18 hingga 20 tahun itu ada merupakan ahli UMNO dan bukan ahli parti tersebut.

Menurutnya, kerajaan Negeri Terengganu memberi sumbangan wang tunai RM143 juta kepada rakyat beberapa hari sebelum PRU15.

Pemberian itu berlangsung pada 15, 16 dan 17 November melalui i-Siswa, i-Belia dan i-Pencen.

“Tak pernah saya alami pilihan raya selama sembilan kali bertanding wang begitu banyak diagihkan kepada rakyat. Kerajaan Terengganu telah menyalahgunakan kuasa memberi bantuan hari raya semasa pilihan raya.

“Didapati wang juga telah dikeluarkan oleh parti-parti ini sehari atau dua hari sebelum pilihan raya,” katanya lagi.

Pada PRU15 lalu, kerusi Parlimen Kemaman dimenangi calon Pas, Che Alias Hamid menewaskan tiga calon lain termasuk Ahmad Said mewakili BN dengan majoriti 27,179 undi.

Parlimen Marang pula dimenangi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 41,729 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Manakala Parlimen Kuala Terengganu kekal disandang Pas apabila calonnya, Datuk Amzad Hashim memperoleh majoriti 40,907 undi menewaskan tiga pencabar lain. – MalaysiaGazette