Datuk Dr. Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Sebanyak 1733 produk makanan disita Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) bernilai RM11,544 dalam Operasi Premis Makanan Bersih Dan Pelabelan Makanan di daerah ini bagi tempoh antara 9 Januari hingga 15 Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Nor Azimi Yunus berkata, pelbagai kesalahan telah dikesan sepanjang operasi yang dijalankan Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan bersama 11 Pejabat Kesihatan Daerah.

Nor Azimi berkata, sebanyak 13 notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 18(1A) kerana label mengandungi akuan-akuan yang dilarang iaitu perkataan yang menyatakan penggredan, kualiti atau kelebihan sesuatu produk makanan.

Selain itu sebanyak 39 Notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 berjumlah RM121,500 dikeluarkan kepada penjual, pengilang atau pengedar makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

“Operasi ini dijalankan bagi tujuan memastikan produk makanan di pasaran adalah selamat dimakan oleh orang awam serta memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih dan mematuhi kehendak di dalam Akta Makanan 1983.

“Sebanyak 314 premis makanan telah dilawati dan diperiksa yang melibatkan 89 premis pasaraya, kedai runcit, mini market dan pemborong, 14 buah kilang memproses makanan dan 211 restoran, kedai makan dan gerai makanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Nor Azimi berkata, seramai 82 anggota penguatkuasa telah menjalankan pemeriksaan di premis-premis makanan seluruh negeri Pahang.

Manakala 10 notis telah dikeluarkan ke atas kesalahan dibawah peraturan 14(9)(b) kerana menjual makanan yang telah tamat tarikh luput.

“Tujuh notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 10(b) kerana tidak mematuhi kehendak Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris bagi makanan yang diimport.

“Sebanyak tujuh notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 11 atas kesalahan tidak mematuhi kehendak pelabelan kerana label makanan tersebut tidak mempunyai nama sebutan sebenar makanan dan tidak menyatakan alamat pengilangan atau pengimport makanan,” ujarnya.

Bagi operasi premis makanan bersih, sebanyak 216 Notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 dengan notis sebanyak RM42,850

Sebanyak 162 notis di bawah Peraturan 32 kerana pengendali makanan tidak mematuhi kehendak berhubung pakaian pengendali makanan seperti apron, kasut dan penutup kepala.

Manakala, sebanyak 21 notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 33 bagi kesalahan tidak mematuhi kehendak kebersihan diri pengendali makanan seperti berkuku panjang dan memakai perhiasan diri. – MalaysiaGazette