Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap kepada media selepas pelancaran Pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA ‘23) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2023.

KUALA LUMLUR – Kementerian Pengangkutan akan berusaha untuk menangani isu perkhidmatan feri di Langkawi yang ketika ini agak terbatas.

Langkah itu sebagai persiapan kehadiran pengunjung sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan perkhidmatan tersebut tidak menjejaskan penganjuran LIMA’23.

Ujarnya, Kementerian Pengangkutan menyokong penuh penganjuran LIMA’23 yang turut memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan negara.

“Kita sudah arahkan Jabatan Laut dan pengendali feri untuk lihat isu ini serta meningkatkan kapasiti untuk tampung jumlah pengunjung.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ia tidak mempunyai isu kerana telah dinaik taraf sejak penganjuran sebelum ini.

“Ini bukan kali pertama Langkawi menjadi tuan rumah untuk LIMA dan kita yakin dapat tampung jumlah pengunjung termasuk penggunaan e-hailing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) di Pusat Pameran Dagangan Antarabangsa (MITEC), di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pertahanan, datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut Siew Fook, tindakan itu bukan hanya persediaan bagi penganjuran LIMA’23 semata-mata.

Malah, ia juga merupakan persediaan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang akan berlakunya peningkatan pengunjung.

Penganjuran LIMA’23 membabitkan keluasan 20,000 kaki persegi di kawasan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Sebanyak 110 pesawat pertahanan dan komersial akan terbabit dengan pertunjukkan udara bagi acara berkenaan. – MalaysiaGazette