Pasangan suami isteri dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi atas kesalahan membunuh seorang pelayan restoran dalam kejadian pada 29 Disember lalu.

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dakwaan membunuh seorang pelayan restoran menggunakan bom buatan sendiri dalam kejadian di Pandan Indah Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh, Khor Swee Boon, 33, dan Ng Hui Yee,30, telah dihadapkan ke mahkamah pukul 9.55 pagi tadi sebelum kertas pertuduhan dibacakan bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh sekadar mengangguk kepala sebagai memahami pertuduhan dan tiada pengakuan direkodkan daripada mereka memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas lelaki bernama Cho Lim Fong berusia 29 tahun.

Pasangan suami isteri itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Disember lalu jam lebih kurang pukul 8.55 malam bertempat di hadapan Restoran Jing Hoe Mei, Jalan Pandan Indah, Ampang.

Oleh demikian kedua-dua mereka dituduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan di baca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Nurul Amirah Sam Kamaruddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer.

Terdahulu Rayer memohon mahkamah agar membenarkan jamin kepada tertuduh kedua Hui Yee atas alasan status sebagai wanita dan mempunyai anak lelaki dan perempuan yang masih kecil berusia lima dan tujuh tahun yang perlu dijaga.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam perbicaraan kes Samirah Muzaffar yang dibenarkan jamin dalam kes bunuh pengasas Cradle Fund atas alasan tertuduh seorang wanita yang mempunyai dua anak kecil yang perlu ditanggung yang kini berada di bawah jagaan ibunya dan memohon budi bicara majistret.

Namun Nurul Amirah membantah sekeras-kerasnya sebab tiada keadaan khas untuk membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu sebelum Normaizan menolak permohonan Rayer serta merta.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen forensik, kimia dan laporan bedah siasat.

Terdahulu dalam kejadian pada 29 Disember lalu, seorang tukang masak cedera parah selepas menyentuh bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya.

Namun mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang akibat kecederaan di tangan dan badan akibat letupan disyaki bom buatan sendiri itu.

Bertindak atas maklumat polis berjaya melakukan tangkapan ke atas pasangan suami isteri yang mengenali mangsa di Serdang, Kedah pada 3 Januari lalu.

Kemudian hasil serbuan ke atas rumah suspek, seorang kontraktor binaan dan mozaic berjaya membawa kepada rampasan barang-barang antara mercun bom serta pisau yang digunakan untuk menghasilkan bahan letupan buatan sendiri itu.

Hasil soal siasat suspek mengaku dia membuat bom buatan sendiri dengan belajar dari Youtube.

Siasatan polis, suspek mengaku mangsa telah mengadakan hubungan sulit dengan isterinya iaitu suspek kedua sebelum diketahuinya.

Mangsa yang menyedari hubungan sulit dengan isteri suspek terbongkar telah melarikan diri ke Ampang.

Suspek yang difahamkan menjejaki mangsa dan meletakkan bungkusan yang mengandungi bom buatan sendiri di atas bonet kereta sebelum meletupkan bahan letupan menggunakan alat kawalan jauh dari lokasi kejadian itu. – MalaysiaGazette