MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian berganding bahu membangunkan Malaysia sebagai sebuah Negara Madani seperti dihasratkannya sebelum ini.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha membentuk masyarakat madani yang akan diketuai kementeriannya merangkumi aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan.
“Program yang mahu diterjemahkan Perdana Menteri iaitu Malaysia Madani atau Masyarakat Madani ini menjurus ke arah perpaduan sebuah masyarakat masa depan yang ideal dan berperadaban.
“Kementerian Perpaduan akan menyokong, merancang banyak program berkaitan malah Perdana Menteri juga minta semua kementerian turut memainkan peranan mereka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Muzium Seni Bina Malaysia di Banda Hilir di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Ab Aziz serta Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka, Intan Suhana Yusuff.
Mengulas lanjut Aaron berkata, sebagaimana dipraktikkan hari ini, Masyarakat Madani akan terus menggunakan norma-norma baharu di mana rakyat dapat bergaul dan bekerjasama di sebalik perbezaan agama dan budaya.
“Masyarakat Madani akan menjadi slogan Kerajaan Perpaduan hari ini sebagaimana ianya diilhamkan Perdana Menteri melalui buku tulisannya ‘Membangun Negara Madani’ yang sebelum ini ditulis dalam bahasa Inggeris bertajuk SCRIPT-For a Better Malaysia.
“Kita mengambil tanggungjawab untuk laksana tugas ini walaupun sememangnya inilah yang dilakukan Kementerian Perpaduan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette.