zaid ibrahim majlis peguam agong
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali harus menterjemahkan kepada penjawat awam di peringkat bawah berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mereka memakai prinsip kebertanggungjawaban.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau sentiasa menekankan agar kerajaan, tidak kira kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sekarang Kerajaan Perpaduan melakukan perubahan paradigma dalam sektor kerajaan.

“Dalam saranan dan cadangan saya, selalu menjadikan perkhidmatan penjawat awam di Singapura sebagai contoh. Negara ini maju kerana sikap cemerlang penjawat awam.

“Tidak salah untuk Malaysia mengambil contoh kecemerlangan negara itu untuk diterapkan dalam sistem perkhidmatan kita.

“Dalam hal ini, KSN harus menterjemahkan setiap cadangan dan pengharapan daripada Perdana Menteri kepada penjawat awam di semua peringkat,” katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya hari ini.

Zaid turut menyambut baik ucapan Anwar kepada pegawai kerajaan semalam yang mengajak mereka fikirkan kaedah perubahan yang wajar untuk memajukan negara.

Katanya, setiap pegawai tinggi kerajaan perlu lebih inovatif dan mencuba sebaik mungkin pelan bagaimana untuk menjayakan dasar kerajaan secara lebih berkesan.

“Saranan Perdana Menteri ini penting, yang perlu disemat dan diterjemahkan di bidang masing-masing.

“Tengok Singapura, dalam erti kata lain, negaranya kecil, tetapi mereka telah maju yang berpunca daripada perkhidmatan yang bagus. Ini diakui ramai pemerhati pembangunan negara di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berharap, selepas ini sekurang-kurangnya penjawat awam dapat mengubah persepsi orang ramai dengan perkhidmatan yang disediakan. – MalaysiaGazette