Ahmad Zahid (tengah) bersama Dusuki (kiri) dan Khairuddin dalam pertemuan di Putrajaya hari ini.- Gambar FB Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Ulamak UMNO, Datuk Dusuki Ahmad akan dibantu oleh Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Dusuki merupakan sahabat lamanya yang sesuai menerajui majlis berkenaan.

Sementara itu, katanya, Khairuddin pula merupakan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas.

“Tengahari ini berkesempatan bertemu dengan Dusuki, sahabat lama yang saya isytiharkan namanya waktu Perhimpunan Agung UMNO Sabtu lalu sebagai Pengerusi Majlis Ulamak UMNO yang baru ditubuhkan.

“Saya mengenali Dusuki lama bukan sahaja sebagai ulamak, pemikir dan veteran UMNO tetapi sebagai seorang sahabat yang saya sendiri pernah diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim waktu beliau menjadi Menteri Kewangan untuk saya membantu Dusuki yang diamanahkan selaku Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), manakala saya sebagai Pengerusi YADIM Holding,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, sebagai seorang ustaz yang berkelulusan Sarjana dalam Bidang Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Dusuki pernah menjadi Ahli Parlimen Tumpat dan Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Wilayah dan Kementerian Penerangan dari tahun 1982-1990, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 1976-1984, Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO Malaysia dan Setiausaha Biro Agama UMNO.

“Selaku tokoh agama yang banyak pengalaman dan jaringan persahabatan di kalangan ulamak dan cendekiawan Islam dalam dan luar negara, saya percaya Dusuki mampu membantu saya dan UMNO untuk memperkukuhkan lagi agenda dakwah Islamiyyah, pendidikan Islam dan tarbiyyah dalam parti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast