Awang Adek Hussin

KUALA LUMPUR – Profesional pematuhan perlu bersedia menangani kerumitan dalam perniagaan yang makin meningkat dan jangkaan masa depan melalui latihan, pensijilan dan kelayakan yang sewajarnya digabungkan dengan sikap yang terbuka, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata, meningkatkan keupayaan dalam pematuhan memberikan kelebihan daya saing dan organisasi juga perlu mengubah minda mereka ke arah pematuhan bagi mengekalkan bakat.

“Salah tanggapan mengenai pematuhan ialah ia menyekat pertumbuhan dan pengembangan perniagaan (tetapi) pematuhan tidak dimaksudkan sebagai penghalang. Malah, ia menggalakkan persaingan yang adil dan boleh menjadi pemangkin kepada inovasi dan perubahan,” katanya semasa pelancaran program Profesional Pasaran Modal Bertauliah (CCMP) – Pematuhan hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Urusan SC Datin Azalina Adham.

“Keperluan kawal selia dalam sektor kewangan untuk keselamatan data dan pencegahan penipuan telah membawa kepada pembangunan teknologi keselamatan yang termaju,” jelas Awang Adek.

Awang Adek berkata penyimpanan rekod yang lemah, kekurangan maklumat kewangan yang boleh dipercayai, kawalan dalaman yang lemah dan kegagalan pengurusan risiko berpunca daripada ketiadaan pematuhan, yang mana malangnya semua ini hadir dalam keruntuhan platform mata wang kripto FTX.

“FTX merupakan  peringatan keras tentang nilai pematuhan dan, seterusnya, tadbir urus korporat: melindungi perniagaan daripada salah laku korporat dan kepincangan etika, menerapkan dasar dan prosedur yang teguh, dan yang paling utama ialah memastikan ketelusan,” katanya.

Beliau menyatakan pematuhan juga mendorong syarikat untuk mempertimbangkan keperluan dan perspektif pelbagai pihak berkepentingan dan syarikat juga boleh mengenal pasti peluang baharu dengan menggunakan pendekatan yang lebih holistik.

“Kemajuan ini tidak mungkin berlaku jika pegawai pematuhan memberi tumpuan sepenuhnya kepada mengurus risiko dan mencegah penyalahgunaan, yang mana pendekatan jenis ini boleh mengakibatkan pandangan yang memudaratkan pertumbuhan perniagaan dan keperluan inovasi,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa adalah penting bagi kakitangan pematuhan menerima latihan yang betul serta mengamalkan pemikiran terbuka untuk memastikan perniagaan melihat mereka sebagai rakan kongsi jangka panjang yang dihargai dan bukan sekadar fungsi pematuhan semata-mata.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) Tengku Zarina Tengku Chik berkata pensijilan itu adalah untuk meningkatkan kecekapan profesional pematuhan menjadi penasihat dan penyokong budaya pematuhan serta memastikan bekalan tenaga mahir yang cekap.

“CCMP ialah inisiatif pensijilan utama SIDC, yang kami mulakan dengan pensijilan dalam Derivatif pada awal 2022 dan hari ini, kami menambahkan pensijilan pematuhan ini ke dalam apa yang kami tawarkan sebagai CCMP-Pematuhan,” katanya. – BERNAMA