BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 1.6 tan mercun dan bunga api seludup dalam satu serbuan di hadapan sebuah premis di George Town di sini pada minggu lepas.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, rampasan membabitkan 463 kotak mercun bernilai RM87,010 itu dipercayai untuk dijual bagi sambutan Tahun Baharu Cina.
Jelas beliau, mercun dan bunga api berkenaan ditemui di dalam sebuah lori dipercayai tidak berkastam dengan cukai berjumlah RM56,556.50.
“Siasatan mendapati mercun berkenaan dibawa masuk ke negara ini menerusi laluan darat dari sebuah negara di Asia Tenggara menerusi sempadan utara.
“Selain itu, tiga lelaki berusia 30 hingga 42 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyikan atau memiliki barang-barang tidak berkastam atau barang larangan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan berbeza, Hamisan berkata, pihaknya turut menahan sebuah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara dan merampas 510 unit dapur memasak hob (electrical hob-cooker).
“Kesemua barangan tersebut disyaki tidak berkastam melibatkan nilai anggaran berjumlah RM358,500 dengan cukai berjumlah RM114,720.
“Selain rampasan tersebut, kita turut menahan seorang wanita berusia 34 tahun yang juga pengurus syarikat bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati, syarikat tempatan tersebut berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan dan barang dagangan tersebut dibawa masuk dari China,” kata Hamisan. – MalaysiaGazette