Pelakon, Sharnaaz Ahmad bercakap kepada media selepas diikat jamin atas dakwaan menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad yang kini berdepan dengan pertuduhan mencederakan seorang penghuni sebuah kondominium mengakui kes itu tidak mengganggu kerjayanya ketika ini.

Sharnaaz Ahmad, 37, yang mempunyai jadual padat dengan penggambaran filem The Original Gangster arahan Syamsul Yusof berkata, aktivitinya sebagai anak seni berjalan seperti biasa.

“Tak ada, penggambaran saya sekarang di Johor Bharu. Insya-Allah tiada apa yang mengganggu. Kita fokus dengan apa yang perlu kita buat, kerja harian kita diteruskan dan ini adalah satu perkara yang warna dalam hidup kita.

“Kita kena nikmati warnanya walaupun kadang-kala warna itu tak berapa nak elok,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Pelakon, Sharnaaz Ahmad bercakap kepada media selepas diikat jamin atas dakwaan menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2023.

Terdahulu Sharnaaz Ahmad hadir ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhan dengan sengaja mencederakan seorang penghuni sebuah kondominium di Segambut pada Jun lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah pertuduhan itu di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.

Mengikut pertuduhan, Sharnaaz Ahmad dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang penghuni sebuah kondominium, Izzul Islam Awang, 27.

Semasa kejadian, tertuduh dan mangsa berada di kawasan lift, pintu masuk Blok C di Kondominium Changkat View, Jalan Dutamas Raya, Jinjang lebih kurang pukul 8.30 malam pada 16 Jun lalu.

Ditanya tentang kes itu bakal memberi pengajaran kepadanya, beliau menegaskan, selagi tidak dijatuhkan bersalah, tiada sebarang pengajaran boleh diambil.

“Semua pihak perlu ambil pengajaran, Sharnaaz belum lagi mengaku bersalah, belum didapati bersalah dan belum disabitkan.

“Jadi unsur pengajaran tidak timbul, kita tak tahu apa keputusan mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sharnaaz mengaku tak bersalah cederakan penghuni kondo