Bomba Pulau Pinang membawa turun seorang lelaki Belgium yang terkandas akibat digigit binatang berbisa ketika melakukan pendakian di atas bukit di Batu Ferringhi.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Belgium yang dilaporkan terkandas ketika melakukan aktiviti pendakian di bukit berhampiran Batu Feringghi di sini berjaya dibawa turun malam tadi.

Mangsa berusia 40-an itu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 9.20 malam dalam keadaan selamat.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Safry Romli berkata, mangsa yang mendaki bukit itu seorang diri telah menghubungi talian kecemasan 999 selepas mendapati dirinya gagal bergerak.

Kata beliau, bagi memudahkan operasi pencarian, lelaki terbabit turut memberikan lokasi keberadaannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sebaik tiba, kita dapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri dipercayai digigit binatang berbisa sekali gus membuatkan dia tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Kita berdepan sedikit kesukaran ketika mencari dan menyelamat berikutan gangguan liputan internet memandangkan mangsa berada 200 meter dari kaki bukit selain permukaan kawasan yang curam serta gelap.

“Susulan itu, kita telah membawanya turun ke kaki bukit dan keadaannya dilaporkan stabil. Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10 malam tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast