PUTRAJAYA – Permohonan pengambilan pekerja asing di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 mula dibuka pada 27 Januari sehingga 31 Disember tahun ini.

Majikan boleh memohon dan mendaftarkan makumat pekerja melalui pautan https://imigresen-nline.imi.gov.my/myimms/main.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata,  lapan sektor yang dibenarkan di bawah program RTK 2.0 ini termasuk pembantu rumah asing (PRA) yang baharu ditambah.

Kelapan-lapan sektor yang dibenarkan di bawah program ini ialah perkilangan; pembinaan; perlombongan dan kuari; perkhidmatan dan subsektor perkhidmatan; pertanian dan beberapa subsektor pertanian; perladangan dan PRA.

Bagaimanapun, lima sektor yang dibekukan ialah perniagaan tekstil; tukang emas; tukang gunting rambut; rumah kebajikan; dan kitar semula.

Jelas Khairul, untuk permohonan RTK bagi PRA melibatkan sembilan negara iaitu Filipina, India, Indonesia, Kemboja, Laos, Nepal, Sri Lanka, Thailand, dan Vietnam.

Perladangan dan perkhidmatan akan dikenakan levi sebanyak RM649 manakala PRA sebanyak RM410.

“Proses kelulusan akan diberikan dalam jangka masa sehari dan selepas itu majikan perlu membuat bayaran secara dalam talian dan bagi fi kalibrasi perlu membayar sebanyak RM1,500 dan bayaran levi.

“Bayaran levi dibuat mengikut sektor iaitu perkilangan sebanyak RM1,850 yang mana pembinaan, perlombongan, pengawal keselamatan dan perkhidmatan jumlah sama,” katanya pada sesi Taklimat Program RTK 2.0 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas semua bayaran dibuat majikan akan menerima stiker Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Bagi sektor pembinaan jumlahnya RM3,535 seorang pekerja, bagi PRA kos yang perlu dibayar RM2,100 manakala perladangan, dan pertanian kosnya adalah RM2,330,” katanya.

Mengulas mengenai kelayakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang diberi kelonggaran sehingga ke tahap maksimum untuk membolehkan mereka diambil bekerja, katanya, ia termasuk mereka yang melakukan kesalahan sebelum 31 Disember 2022.

Mereka layak diambil oleh majikan termasuk yang melakukan kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama, dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka juga hendaklah lulus ujian saringan pemeriksaan kesihatan (FOMEMA) dan diperakui fit to work, jika gagal perlu dihantar pulang,” jelasnya.

Tegas Khairul, tiada orang tengah yang akan dilantik dan jika didapati terdapat individu yang berbuat sedemikian, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

“Mereka (orang tengah dan majikan) tidak boleh memegang pasport atau dokumen rakyat asing ini. Sekiranya mereka mempunyai dokumen dalam jumlah yang banyak, ia merupakan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” ujarnya.

Sebelum ini, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja diwujudkan bagi menjadikan PATI yang ada di negara ini sebagai pekerja asing yang sah, digajikan oleh majikan yang layak dan tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan menerusi Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Pada 10 Januari lalu, program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing merupakan antara dua perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.