Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan mungkin menggunakan pendekatan “subsidi digital” dalam melaksanakan subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Selain itu, pengenalan subsidi bersasar juga akan dijalankan secara “solf landing” atau berperingkat bermula daripada satu barang sebelum diperluaskan kepada barangan lebih banyak.

Selari dengan keputusan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), kerajaan telah memulakan kajian mendalam mengenai subsidi bersasar dan skop kajian meliputi barangan keperluan harian rakyat termasuk bahan api, minyak masak, telur ayam dan daging ayam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Jemaah Menteri akan menentukan masa untuk melaksanakan subsidi bersasar dan kerajaan tidak mahu menimbulkan kebimbangan.

Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji cara pelaksanaan subsidi bersasar, tetapi teknologi tinggi termasuk aplikasi digital mungkin digunakan.

“Kini guna MyKad pun boleh dan ada juga  aplikasi lain seperti MySejahtera, tetapi agensi berkenan dan Kementerian Kewangan akan menentukan aplikasi apakah yang akan digunakan,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Ditanya sama ada penggunaan aplikasi akan membebankan pengusaha yang perlu menyemak identiti pengguna, Salahuddin berkata, perbincangan telah diadakan dengan pasar raya besar.

“Sebelum melaksanakan satu dasar atau menggunakan aplikasi tertentu, kami perlu berbincang dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu untuk mengelakkan masalah-masalah yang akan timbul kelak.

“Kalau guna kupon, ada yang mungkin berpendapat cara ini cara lama dan ada cara yang lebih sesuai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mempertimbangkan supaya penjaja dan peniaga makanan kecil dapat menikmati sebahagian subsidi minyak dengan membeli minyak masak yang dikhususkan untuk kegunaan komersial.

Katanya, di bawah cadangan itu, peniaga kecil boleh membeli minyak masak yang mempunyai label khas supaya mereka juga boleh menikmati subsidi tertentu.

“Terdapat cadangan supaya peniaga kecil boleh membeli minyak masak bersubsidi dengan RM3 manakala minyak masak bersubsidi untuk keluarga biasa adalah RM2.50.

“Walaupun minyak bersubsidi untuk peniaga kecil nampak lebih mahal, tetapi ia masih lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.

Salahuddin bagaimanapun menjelaskan, cadangan berkenaan masih perlu diteliti dan kaji selidik mengenai subsidi bersasar juga belum selesai dijalankan.

Menurutnya, kerajaan pada masa ini tidak boleh menghalang peniaga kecil membeli minyak masak bersubsidi kerana mereka juga merupakan golongan B40.

“Jika kami menghalang penjaja membeli minyak dalam paket, mereka akan menaikkan harga jualan produk mereka dan kos juga akan beralih kepada pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette