GEORGE TOWN – Timbalan Pengarah Laut dan pegawai operasi Jabatan Laut Wilayah Utara direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima rasuah sebagai balasan memberikan kerja-kerja sebut harga jabatan berkenaan kepada dua kontraktor.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki berusia 52 tahun dan pegawai wanita berusia 30 tahun itu dikatakan menerima suapan tajaan tiket kapal terbang dan penginapan ke Langkawi, Kedah berjumlah RM2,808.12 pada Julai tahun lalu.
“Selain dua pegawai kerajaan itu, seorang pengarah syarikat dan kontraktor berusia 40-an turut direman bagi membantu siasatan sama.
“Perintah reman terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret George Town hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Terdahulu, keempat-empat individu tersebut ditahan bermula jam 4.30 petang hingga 10 malam selepas dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang semalam. – MalaysiaGazette