Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang suri rumah berusia 40 tahun berputih mata apabila rugi RM35,000 selepas terjebak urusan perkhidmatan pembersihan bulu haiwan peliharaan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, mangsa menggunakan wang pusaka arwah bapanya itu sebagai bayaran perkhidmatan selepas terpedaya dengan iklan sindiket berkenaan pada 13 Januari lalu.

“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu melalui nombor telefon yang disertakan. Suspek meminta mangsa memuat turun aplikasi yang diberikan bagi tujuan pembayaran perkhidmatan terbabit.

“Namun selepas mengisi maklumat diri dalam aplikasi terbabit, mangsa mendapati wang dalam akaun banknya berkurangan sebanyak RM35,000, iaitu wang pusaka milik ayahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes tersebut masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette