penjara
Gambar hiasan.

KAJANG – Gara-gara berang ditegur kerana membuat bising terhadap pekerja restoran dua beradik dikatakan telah menetak seorang lelaki dengan parang dalam kejadian di sebuah restoran di Taman Segar Perdana, Cheras pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 9.25 pagi.

Siasatan mendapati kejadian itu berlaku disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang merupakan pekerja restoran tersebut.

“Mangsa sebelum itu bertindak menegur suspek kerana membuat bising apabila minuman yang dipesannya lewat dihantar sebelum suspek telah dihalau keluar oleh pekerja itu dari premis berkenaan.

“Selang beberapa minit kemudian, suspek yang naik angin itu kembali bersama seorang individu lain dipercayai saudaranya ke kedai itu dengan membawa sebilah parang sebelum bertindak menyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, akibat tetakan itu, mangsa telah mengalami kecederaan patah tulang jari telunjuk kiri dan luka di lutut kaki kanan.

Bertindak atas aduan, polis menjalankan siasatan sebelum membuat tangkapan ke atas dua lelaki dipercayai terlibat semalam.

“Kedua-dua suspek yang berusia 44 dan 47 tahun itu berjaya ditahan oleh sepasukan polis dalam satu serbuan pukul 3 pagi semalam (Rabu) di sebuah rumah di Taman Cheras Permata, Kajang.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis turut berjaya merampas dua bilah parang serta pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian.Kedua-dua suspek berkenaan telah direman selama lima hari untuk membantu siasatan lanjut polis,” ujarnya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette