Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof

SEPANG – Seorang kerani wanita yang direman kerana disyaki membunuh anak lelakinya berusia setahun enam bulan dengan menekup muka menggunakan bantal akan didakwa ke mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, suspek warga tempatan berusia 20 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pukul 9 pagi

“Terdahulu suspek telah direman bersama teman lelakinya berusia 21 tahun itu selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut polis bagi melengkapkan kertas siasatan kes.

“Kertas siasatan yang selesai dilengkapkan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Selangor, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini untuk arahan lanjut.

“Sehubungan itu, kami menerima arahan TPR untuk menuduh suspek utama iaitu ibu mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tertekan masalah keluarga tekup anak dengan bantal hingga maut

Tambah Wan Kamarul Azran, pada masa yang sama, seorang lagi suspek iaitu suami wanita itu yang turut direman sehari pada 16 Januari lalu telah dibebaskan selepas mendapati tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kejadian itu.

“Manakala suspek ketiga iaitu teman lelaki suspek utama yang merupakan seorang pelajar kolej pula akan dijadikan saksi pendakwaan dalam kes terbabit di mahkamah esok,” katanya lagi.

Terdahulu dalam sidang media hari ini, Wan Kamarul mengesahkan seorang wanita tempatan bersama teman lelakinya direman selepas disyaki bertanggungjawab menyebabkan kematian ke atas anak kandungnya berusia setahun enam bulan dengan menekup mukanya sehingga lemas menggunakan bantal di sebuah di kondominium di Cyberjaya yang ditempah untuk bercuti dengan pasangannya itu pada 11 Januari lalu.

Suspek memberi alasan anaknya terjatuh dari sofa dan tidak sedar diri sebelum merujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan pada petang 12 Januari lalu.

Bagaimanapun, doktor perubatan hospital yang memeriksa mangsa mendapati berlaku pendarahan selepas kedua-dua anak mata kanak-kanak itu merah sebelum tiga hari kemudian mangsa telah disahkan meninggal dunia.

Hasil laporan bedah siasat  Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan kekurangan oksigen dan tindakan ibu menekup muka mangsa selain terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan mangsa.

Selain itu, ada kesan calar di bahagian pipi kiri serta kesan lebam bawah leher disyaki dicekik.

Bertindak atas laporan polis daripada pegawai perubatan Cyberjaya itu polis telah menjejaki ibu mangsa yang merupakan suspek utama kematian kanak-kanak itu dan menahannya semasa bersembunyi di sebuah flat rumah di Putra Perdana, Puchong bersama suaminya.

Selepas itu teman lelaki pula ditahan keesokan hari di Kampung Sungai Buah, Dengkil.- MalaysiaGazette