Wan Kamarul Azran dalam sidang media kejayaan narkotik, kes bunuh bayi dan juga rampasan mercun tidak berpermit di IPD Sepang pagi ini.

SEPANG – Alasan seorang wanita anak kandungnya berusia setahun tidak sedar diri kerana terjatuh dari sofa di rumah ternyata gagal menutup perbuatan kejamnya menekup mangsa dengan bantal sehingga akhirnya menemui ajal.

Suspek yang bersembunyi di sebuah rumah flat itu akhirnya berjaya dijejaki dan dicekup bersama teman lelakinya bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, pada 12 Januari lalu pihaknya menerima laporan daripada doktor wad kecemasan di Hospital Cyberjaya mengenai kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan yang dihantar ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedar diri.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu mendapati ada pendarahan pada kedua-dua anak mata pesakit itu dan keadaannya kritikal.

Beliau berkata, dalam keterangan wanita berusia 20 tahun itu dia telah mendaftar masuk di rumah inap di sebuah kondominium di Cyberjaya pada 11 Januari lalu bersama anak dan teman lelakinya seorang pelajar kolej swasta.

“Dalam keterangan awal itu, ibu mangsa mendakwa anaknya itu terjatuh dari sofa ketika sedang bermain namun tiada kesan lebam atau bengkak tetapi cuma menangis .

“Pada keesokan harinya wanita itu mendapati anaknya tidak sedar diri manakala tubuh badan mangsa menjadi pucat dan teman lelakinya pula tiada di lokasi semasa kejadian itu.

“Bagaimanapun, lebih menyedihkan pada 15 Januari lalu jam 8 pagi polis dihubungi pegawai perubatan Hospital Cyberjaya dan memaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam sidang media pagi ini.

Menurut Wan Kamarul,  siasatan mendapati ibu mangsa yang telah berkahwin selama dua tahun dalam proses penceraian dengan suaminya dan tidak tinggal bersama sejak  setahun yang lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat hospital mengenai kematian kanak-kanak malang itu, polis segera menghubungi semula ibu mangsa namun gagal manakala pemeriksaan di alamat yang diberikan mendapati wanita itu tiada di situ.

“Polis yang membuat risikan mendapati ibu mangsa telah bersembunyi di sebuah rumah flat di Putra Perdana, Dengkil dan hasil serbuan berjaya mencekup suspek dan suaminya.

“Pada hari yang sama selang sejam kemudian polis berjaya mencekup seorang lagi suspek iaitu teman lelaki wanita itu yang merupakan seorang pelajar kolej berusia 21 tahun dalam serbuan di Kampung Sungai Buah Dengkil,” katanya.

Haasil soal siasat ke atas kesemua tangkapan mendapati bapa kandung mangsa tidak terlibat dalam kes tersebut sebaliknya suspek datang ke rumah selepas bergaduh dengan ibunya memaklumkan bahawa anaknya dirawat di hospital akibat sesak nafas.

“Namun soal siasat lanjut ke atas wanita itu berjaya mengaku bahawa dia bertanggungjawab atas kematian anaknya apabila bertindak menekup muka mangsa dengan bantal semasa tidur sehingga lemas.

“Suspek mengaku dia berbuat demikian keranatertekan akibat masalah dengan suami dan keluarganya, manakala teman lelaki pula tidak mengaku terlibat dalam jenayah itu dengan alasan dia hanya hadir untuk bermalam bersama wanita itu sambil mendakwa dia sudah pulang ke rumah semasa kejadian itu.

“Hasil laporan bedah siasat pakar forensik Hospital Serdang mendedahkan punca kematian disebabkan kekurangan oksigen akibat tindakan ibu menekup muka mangsa selain terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan mangsa serta kesan calar di bahagian pipi kiri serta kesan lebam bawah leher disyaki dicekik,” ujarnya.

Kata Wan Kamarul, ibu mangsa dan teman lelakinya disyaki bertanggungjawab terhadap kematian kanak-kanak itu direman di Mahkamah Sepang sehingga 22 Januari ini manakala bapa kandung mangsa dijamin polis kerana didapati tidak terlibat dalam kejadian itu.

Kes telah diklasifikasi semula dari Akta Kanak-Kanak kepada siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.-MalaysiaGazette