Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar

KUALA LUMPUR – Majikan perlu mengemukakan dokumen-dokumen yang sahih untuk menyokong permohonan kuota pekerja asing melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing kerana terdapat kes-kes permohonan yang melibatkan dokumen palsu.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar mengharapkan kerjasama daripada semua majikan dan pihak industri bahawa pematuhan kepada aspek asas berkaitan dengan standard perburuhan adalah dituntut antaranya seperti pembayaran gaji bulanan kepada pekerja termasuk gaji minima dan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

”Saya ingin menggesa majikan bahawa walaupun kelonggaran akan diberikan bagi tujuan untuk menyegerakan kelulusan kuota pekerja asing tetapi aspek-aspek berkaitan standard perburuhan tidak wajar diabaikan walaupun proses naziran bersama oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dibuat selepas tempoh enam ke tujuh bulan daripada tarikh kelulusan kuota,” katanya.

Beliau turut meminta majikan supaya dapat memberikan sokongan sepenuhnya kepada hasrat kerajaan dalam menjayakan Pelan Pelonggaran Penggajian Pekerja Asing dengan majikan membuat permohonan kuota berdasarkan keperluan sebenar.

Jelasnya, kementerian itu akan memastikan kelulusan kuota yang diberikan dapat memenuhi keperluan sebenar guna tenaga negara.

”Adalah penting untuk kita semua memastikan imej dan kredibiliti negara terjamin tanpa berkompromi terhadap kebajikan dan hak-hak pekerja seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa. – MalaysiaGazette