Bangunan Kementerian Pertahan (MinDef), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mengambil perhatian serius kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ketirisan perbelanjaan pada Majlis Dialog Belanjawan Kerajaan 2023 di Putrajaya semalam.

Menurut satu kenyataan, kementerian itu telah melaksanakan perolehan aset secara tender terbuka seperti mana keperluan bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Bermula tahun ini (2023), lima perolehan melibatkan bekalan dan perkhidmatan serta projek infrastruktur telah dibatalkan dan akan dilaksanakan secara tender terbuka.

“Ini selaras dengan dasar kerajaan pada masa ini yang mengutamakan ketelusan dan value for money,” kata kenyataan itu hari ini.

Selasa lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, beliau telah berbincang dengan kementeriannya untuk menentukan kaedah pembelian senjata yang lebih profesional.

Kata beliau, urusan berkaitan pembelian akan dipertanggungjawabkan kepada tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu untuk mencari barangan terbaik dan rundingan antara kerajaan tanpa campur tangan daripada politik atau kepentingan peniaga.

Mengulas lanjut, Kementerian Pertahanan berkata, sebarang ketirisan dan salah laku sepanjang proses tersebut adalah sesuatu yang tidak akan sesekali dikompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan salah laku demi kepentingan peribadi.

Kementerian itu juga tidak akan teragak-agak untuk melaporkan sebarang ketirisan dan ketidaktelusan terhadap proses perolehan tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette