Dua remaja perempuan maut dalam kemalangan di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.

BALIK PULAU – Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Pondok Upeh maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Sungai Rusa, Sungai Pinang di sini semalam.

Kejadian pukul 10 malam itu mengakibatkan penunggang motosikal, Nur Humaira Mohd Zaini, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Nur Fatimah Salamah Ullah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 35 tahun itu dikatakan bertembung dengan motosikal yang dinaiki dua remaja perempuan terbabit.

Kata beliau, kereta yang dipandu lelaki berkenaan dikatakan bertembung dengan motosikal jenis Honda Wave  yang datang dari arah bertentangan selepas memotong sebuah kereta lain.

“Akibat kemalangan terbabit, lelaki yang dalam perjalanan dari Georgetown ke Kuala Sungai Pinang itu mengalami kecederaan di pipi.

“Nur Humaira meninggal di lokasi kejadian manakala Nur Fatimah menghembuskan nafasnya ketika sedang dirawat di HPP,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Kamarul Rizal, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta dan penunggang motosikal itu mempunyai lesen yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jenazah Nur Fatimah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al-Ehsan selepas solat Jumaat manakala jenazah Nur Humaira dikebumikan selepas Asar. – MalaysiaGazette