Gambar hiasan

JENIN – Tentera Israel menembak mati seorang guru Palestin yang sedang memberikan pertolongan cemas kepada seorang pejuang yang cedera parah.

Jawad Bouaqneh, 57, bapa kepada enam anak, terbunuh di luar rumah keluarganya di kem pelarian Jenin, menurut paramedik.

Ia berlaku semasa malam serbuan tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Kematiannya menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh bulan ini kepada 17, termasuk orang awam dan pejuang.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa tenteranya menerima tembakan daripada lelaki bersenjata Palestin dan mereka bertindak balas tembakan.

IDF berkata, pihaknya menyedari laporan seorang orang awam terbunuh “di kawasan pertukaran tembakan” dan kejadian itu sedang “disemak”.

Anak lelaki Bouaqneh, Farid, berkata, sebelum bapanya ditembak mereka mendengar suara seorang lelaki yang meminta bantuan di luar rumah mereka.

Lelaki itu kemudian disahkan sebagai seorang pejuang Palestin yang cedera parah – memanggil bantuan di luar rumah mereka.

“Ayah saya keluar membantu untuk memberikan pertolongan cemas kepada lelaki tersebut.

“Kami mengheretnya ke dalam dan… mereka menembak bapa saya di bahagian atas badan dan saya memindahkannya ke dalam kerana dia berlumuran darah,” katany.

Sejurus selepas tembakan itu, penduduk Palestin berkumpul di luar rumah Bouaqneh.

Paramedik Palestin pula memberitahu, Bouaqneh dan seorang doktor sedang menghampiri lelaki yang cedera di luar rumah.

“Pada ketika itu tentera Israel menembak peluru berkelajuan tinggi ke arah mereka dan peluru mengenai guru itu… di dada ketika dia cuba membantu mereka yang cedera,” kata Persatuan Bantuan Perubatan Palestin (PMRS).

PMRS menambah, ketika itu, doktor berkenaan memakai vest pertolongan cemas yang jelas ketika tembakan berlaku.

Kedua-dua lelaki itu meninggal dunia, tambahnya.

Palestin mengesahkan kematian Adham Jabareen, 28, yang kemudian dikenal pasti oleh Jihad Islam Palestin sebagai salah seorang anggotanya.

Laporan media tempatan memaklumkan, dia adalah komander di Jenin untuk kumpulan itu, yang disenaraikan oleh Israel dan Barat sebagai pertubuhan pengganas.

Video dari serbuan pagi Khamis menunjukkan pengangkut tentera berperisai dan seorang penggali tentera memasuki Jenin, manakala tembakan berulang kali boleh didengari dalam rakaman lain. – Agensi