GUA MUSANG – Seorang wanita dan bayi lelakinya berusia enam bulan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada 12.40 tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang Deputi Superintenden Azmi Mokhtar berkata Khoirul Bariyyah Mohamed Sokeri, 28, dan Muhammad Alfah Abdul Rahim disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Perodua Axia yang dinaiki mangsa bersama dua anak dan dipandu oleh suaminya yang juga seorang anggota tentera berusia 28 tahun dalam perjalanan dari Subang, Selangor menuju ke Kota Bharu, Kelantan.
“Kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung kereta Naza Ria yang dipandu lelaki Melayu berusia 36 tahun,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata akibat pelanggaran itu, Perodua Axia remuk dan pemandunya mengalami patah pada tangan kiri dan pinggang manakala anak lelakinya berusia lima tahun mengalami patah di kedua-dua kaki.
“Pemandu Naza Ria hanya mengalami cedera ringan dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk proses selanjutnya manakala mangsa yang maut dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.- BERNAMA