TOKYO – Seorang jurulatih olahraga Belarus yang didakwa memaksa seorang atlet supaya pulang ke tanahair dari Sukan Olimpik Tokyo telah didakwa atas kelakuan tidak wajar.
Atlet olahraga itu, Krystsina Tsimanouskaya mendakwa, dia telah dibawa ke lapangan terbang di Tokyo di luar kehendaknya selepas mengkritik jurulatihnya.
Pelari pecut itu mendapat perlindungan polis selepas menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatannya dan kemudian diberikan suaka oleh Poland.
Sejak itu, Poland menjadi rumah kedua atlet itu dan dia kini menjadi penuntut di University of Physical Education di Warsaw.
Yury Maisevic telah didakwa atas tiga kesalahan oleh Unit Integriti Olahraga (AIU).
AUI mendakwa Maisevic, yang merupakan ketua jurulatih Belarus di Sukan Tokyo, “mengganggu secara lisan dan mental” Tsimanouskaya.
Jurulatih Artur Shumak turut disiasat, namun belum didakwa.
“AIU mendakwa penyingkiran Tsimanouskaya daripada Sukan Olimpik mendorong Maisevich tidak bertindak dengan integriti dan dengan niat jahat; gagal untuk menjaga maruah atlet dan tindakannya merupakan gangguan lisan dan mental; dan menyebabkan atlet olahraga itu secara amnya menjadi tercemar,” kata unit integriti itu.
Ketua AIU, Brett Clothier berkata, peranan badan itu untuk melindungi atlet dan sesiapa sahaja daripada gangguan.
AIU telah menyiasat perkara ini secara menyeluruh dan menganggap ada kes untuk dijawab bagi pelanggaran Tatakelakuan Integriti,” kata beliau.
Tsimanouskaya menyiarkan video dalam talian mengatakan dia telah menyertai acara 400m lari berganti-ganti melalui satu notis singkat oleh pegawai Belarus, selepas beberapa rakan sepasukan didapati tidak layak untuk bertanding.
Media kerajaan mengkritiknya selepas dia menyiarkan klip itu, dengan satu saluran televisyen mengatakan dia tidak mempunyai “semangat berpasukan”.
Dia berkata, pegawai sukan telah datang ke biliknya dan memberinya masa satu jam untuk mengemas beg sebelum diiringi ke lapangan terbang Haneda di Tokyo.
Pegawai Belarusia berkata, Tsimanouskaya telah dikeluarkan daripada pasukan kerana “keadaan emosi dan psikologinya”. – Agensi