Sebuah treler terbakar dipercayai hilang kawalan di Kilometer 259.6, Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) arah Selatan, kira-kira jam 9 pagi hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua rentung  selepas sebuah treler terbakar dipercayai hilang kawalan di Kilometer 259.6, Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) arah selatan, kira-kira jam 9 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa yang merupakan pemandu treler, Mazlan Molot, 48, dan penumpang hadapan, Fauziah Uyop, 40, tersepit di tempat duduk masing-masing dan maut di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler jenis Volvo yang membawa muatan biji plastik dari Klang menuju ke arah Senawang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, treler yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan melanggar penghadang jalan di lorong tengah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, treler berkenaan telah hangus terbakar keseluruhan di bahagian badan kenderaan.

Jelas Nanda, kedua-dua mayat telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Seremban untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan, ” katanya. – MalaysiaGazette