KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malayasia (PFAM) mendedahkan tunggakan gaji selama enam bulan melibatkan para pemain Melaka United adalah bernilai RM2.3 juta.

FFAM berkata, tunggakan gaji bermula daripada Julai sehingga Disember lalu menyebabkan pemain Melaka United FC berdepan dengan situasi enam bulan tidak bergaji.

“Lebih mendukacitakan, pemain yang mempunyai komitmen bulanan terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan diri dan keluarga sehingga berulang kali menerima panggilan daripada pihak bank untuk menyelesaikan pembayaran bulanan.

“Realiti yang dihadapi oleh pemain Melaka United FC amat mendukacitakan kerana sebagai pemain bola sepak profesional di dalam negara, mendapat bayaran gaji daripada majikan berdasarkan kepada persetujuan di dalam kontrak adalah hak yang sewajarnya dipenuhi dan tidak perlu untuk mereka merayu seolah seolah meminta bantuan ataupun seolah olah mereka melakukan kesalahan untuk menerima gaji mereka sendiri,” kata kenyataan itu.

PFAM turut memberitahu, pada 4 November lalu, satu keputusan telah dikeluarkan oleh Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan bagi kelab Melaka United FC untuk melunaskan jumlah satu bulan gaji terlebih dahulu namun sehingga kini, jumlah tersebut masih gagal untuk dibayar.

Jelas persatuan itu, terkini laporan tunggakan gaji bagi bulan bulan yang berikutnya telah dihantar ke FAM bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan.

”Dalam masa yang sama, isu pemilikan yang timbul di dalam Melaka United FC mengeruhkan lagi keadaan kerana pihak pihak yang sewajarnya bertanggungjawab untuk menangani masalah tunggakan gaji ini dilihat seolah olah tidak mahu memberi kerjasama,” kata PFAM.

Pada September lalu, Melaka United tidak dibenarkan bersaing dalam kejohanan Piala Malaysia 2022 berikutan kegagalan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai, lapor Malaysian Football League (MFL).

Keputusan itu dibuat selepas kata putus dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas skuad Hang Tuah tidak melunaskan bayaran gaji yang tertunggak mengikut tarikh yang ditetapkan.

Sebelum ini, MFL memberikan satu notis peringatan kepada pihak pengurusan MUFC pada 6 September untuk mendapatkan persetujuan di antara semua pihak yang terlibat atau membayar gaji tertunggak sebelum 20 September.

Namun, pihak pengurusan hanya mengemukakan bukti pembayaran kepada pemain dan staf pengurusan sehingga Jun dengan tiada bayaran lanjut dibuktikan. – MalaysiaGazette