Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Petronas bersempena Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina di Bentong, Pahang

KUANTAN – Sebanyak 100 buah keluarga menerima sumbangan bekalan makanan asas daripada Yayasan Petronas sempena Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina di Bentong, semalam.

Selain makanan, sumbangan barangan bertemakan perayaan Tahun Baharu Cina yang disalurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang juga diberikan kepada 200 keluarga di Kemaman dan Kota Bharu.

Ketua Operasi Petronas Pantai Timur, Yusri Anuar Ahmad berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.

“Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina menyasarkan kumpulan masyarakat B40 seperti mana Sentuhan Kasih Festive untuk perayaan utama yang lain.

“Hasrat kami adalah supaya program ini dapat membangkitkan keceriaan dan kegembiraan di kalangan golongan kurang berkemampuan sempena musim perayaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara bekalan makanan asas yang disampaikan ialah beras, minyak masak, gula, garam, tepung, sardin, milo dan teh uncang serta kekacang.

Selain daripada itu, setiap keluarga juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti mee kering, minyak bijan, sos taucu dan cendawan kering.

Hadir sama menyampaikan sumbangan ialah oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan dan Pengarah JKM Pahang, Datuk Zulkhairi  Zainol Abidin

Seramai 2,150 keluarga kurang berkemampuan diraikan oleh Yayasan Petronas melalui Program Sentuhan Kasih Festive  Tahun Baharu Cina 2023 di 13 buah negeri dan dua wilayah persekutuan seluruh negara.

Program Sentuhan Kasih Festive adalah inisiatif di bawah teras kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang mempunyai fokus untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat yang kurang berkemampuan.

Ia dianjurkan bersempena sambutan perayaan-perayaan utama di Malaysia sebagai saluran bagi Yayasan Petronas bekerjasama dengan komuniti dalam meringankan beban keluarga yang disasarkan bagi membuat persiapan sambutan perayaan. – MalaysiaGazette