KUALA LUMPUR – Menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, Plaza Tol Gombak mengalami kesesakan hampir lima kilometer susulan pertambahan kenderaan warga kota yang ingin pulang ke kampung halaman.
Kepadatan aliran trafik tersebut menjadi kebiasaan buat mereka yang ingin menuju ke Pantai Timur terutama pada musim perayaan, namun kesesakan itu juga berpunca daripada sikap segelintir pemandu yang tidak bertanggungjawab.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, banyak kenderaan yang ‘mengambil peluang’ untuk memenuhi ruang kosong apabila ada kereta yang mengamalkan jarak yang selamat, hanya untuk ‘menjimatkan’ masa beberapa saat.
Malah, segelintir daripada mereka juga membelok ke ruang kosong itu tanpa memberikan signal sehingga mengganggu perjalanan lalu lintas dan mengurangkan kelancaran trafik.
Masalah Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tol itu juga menjadi salah satu penyumbang kesesakan bertambah ‘parah’ apabila terdapat beberapa kereta yang perlu mengundur dari lorong berkenaan kerana sistem gagal mengesan tag RFID di kenderaan tersebut.
Namun tidak dinafikan, sikap pengguna jalan raya juga menyumbang kepada kesesakan apabila berhenti di tepi laluan tol dipercayai untuk menambah nilai baki Touch ‘n Go eWallet sebelum melalui lorong RFID.
Pemerhatian MalaysiaGazette setakat jam 10.30 pagi hari ini mendapati terdapat pertambahan kenderaan seawal jam 8 pagi sehingga menyebabkan aliran trafik bertambak padat.
Keadaan hujan renyai di sini juga berkemungkinan menyebabkan pergerakan lebih perlahan, hampir 40 minit untuk sampai ke Plaza Tol Gombak.
Bagaimanapun, keadaan trafik di plaza tol tersebut menuju ke ibu kota masih lancar.
Sebelum ini, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menerusi kenyataan di Facebook menasihatkan pengguna supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-Wallet RFID mencukupi sebelum memulakan perjalanan selain mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan agar selamat sampai ke destinasi. – MalaysiaGazette
Tolong jangan gunakan RfId, memang Malaysia belum layak lagi untuk sistem itu dan kenapa T n Go tidak menjual kad tngo kepada agen yang menjual reload seperti kedai runcit, stesen minyak dan sebagainya..
kenapa menyusahkan rakyat padahal ramai yang ingin membeli kad tapi jawapan tak ada stok seolah olah tngo tiada tanggungjawab langsung dan membuat tarikh luput di kad tngo pun tak masuk akal..Berapa billion entah duit baki tngo yang masih tidak dituntut oleh pemegang kad tngo yang luput tarikhnya…
Tolonglah jadi jabatan yang peka dan bertanggungjawab