KUALA LUMPUR – Pas mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Malaysia berketurunan Cina di seluruh negara yang menyambutnya esok.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas menyeru rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama bekerjasama untuk menghadapi apa-apa cabaran mendatang dengan mengambil semangat ketelitian dan ketangkasan ‘Sang Arnab’.
Beliau berkata, menerusi semangat itu dapat membina negara Malaysia lebih cemerlang dan bermanfaat kepada semua.
“Seperti tahun-tahun lepas pada malam tahun baharu kali ini, masyarakat Cina akan berkumpul dengan keluarga serta orang tersayang untuk melepaskan Tahun Harimau dan menyambut kedatangan Tahun Arnab pula.
“Bersempena tahun baharu ini, marilah seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama bekerja bersama bagi menghadapi apa-apa cabaran yang mendatang dengan mengambil semangat ketelitian dan ketangkasan ‘Sang Arnab’ dalam usaha membina negara Malaysia lebih cemerlang dan bermanfaat kepada semua,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Takiyuddin turut mendoakan semua agar berada dalam keadaan baik.
“Semoga semua berada dalam kesejahteraan dan kesihatan yang lebih baik pada tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette