Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Hakim Mohd Nor (tiga kanan) diiringi Pengasas Asri Ahmad Academy, Datuk Mohd Asri Ahmad (tengah) merasmikan Flag-off Misi Bantuan Musim Sejuk untukmu Syria 2023 di Anjung Tinjau, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 20 JANUARI 2023.

SEPANG – Serantau Muslim bakal menjejakkan kaki ke Lubnan bagi melaksanakan misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria bermula esok sehingga 27 Januari ini.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd. Hakim Mohd Nor berkata, misi disertai 12 orang disertai oleh beberapa orang sukarelawannya bersama pendakwah selebriti, Ustaz Yaakub Yusra dan Ustaz Tido atau nama sebenar, Khailil Razak.

Beliau memberitahu, ketika di sana, Serantau Muslim juga akan merasmikan sebuah Dewan Orang Ramai Malaysia (DORM) di al-Yasmin Camp, Beeka yang mampu memuatkan 300 orang pada satu masa.

“DORM ini dibina untuk memastikan pelaksanaan penambahbaikan sistem penyampaian bantuan kepada pelarian Syria di Lubnan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

“Pada masa sama, ia dibina memudahkan orang ramai mengadakan membincangkan sebarang idea yang berkaitan dengan pelarian Syria.

“DORM boleh digunakan sebagai tempat mendapatkan yang tepat atau idea sumbang saran untuk membantu lebih ramai rakyat Syria,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelepasan Misi Kemanusiaan Bantuan Musim Sejuk Untukmy Syria Serantau Muslim oleh Ikon Pelaburan Saham, Datuk Mohd Asri Ahmad dan tokoh pempengaruh kebajikan, Cikgu Fadli Salleh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini malam ini.

Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Hakim Mohd Nor berucap pada Flag-off Misi Bantuan Musim Sejuk untukmu Syria 2023 di Anjung Tinjau, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 20 JANUARI 2023.

Mohd. Hakim menambah, kos pembinaan DORM berjumlah RM30,000 di mana kerja-kerja bermula tahun lalu.

Beliau berkata, Serantau Muslim bersyukur dapat menyiapkan dewan dengan kos yang murah memandangkan polisi Kerajaan yang tidak membenarkan pembinaan bangunan tinggi daripada batu bata.

Menurutnya, ketika ini terdapat dua juta pelarian Syria di Lubnan.

“Justeru, DORM ini juga boleh dijadikan tempat berkumpul untuk menjalankan pelbagai aktiviti bersama untuk rakyat Syria.

“Ia juga berperanan untuk mempromosikan mana-mana kelas untuk rakyat Syria bagi mengagihkan makanan, air dan keperluan asas lain.

“Saya berharap kemudahan ini dapat memudahkan semua pelarian Syria dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk duduk bersama untuk membantu mereka,” katanya.

Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Hakim Mohd Nor bercakap kepada media pada Flag-off Misi Bantuan Musim Sejuk untukmu Syria 2023 di Anjung Tinjau, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 20 JANUARI 2023.

Sementara itu, Mohd. Hakim berkata, Bantuan Musim Sejuk untukmu Syria Serantau Muslim menyasarkan sumbangan sebanyak RM1.5 juta di mana kutipan terkini adalah RM300,000.

“Ketika pandemik Covud-19 sepanjang dua tahun lalu, Serantau Muslim telah menghantar amanah para penyumbangnya ke sana bagi memenuhi sebahagian keperluan mereka melalui rakan mereka.

“Kini Serantau Muslim boleh bersua muka dengan para pelarian yang memerlukan untuk mengagihkan bantuan.

“Pada misi kali ini juga, Serantau Muslim akan meneruskan agihan bantuan set pemanas, pakaian, makanan, tilam dan selimut kepada yang masih memerlukan,” katanya.

Serantau Muslim yang sudah lapan tahun ditubuhkan telah menjalankan banyak aktiviti untuk kemanusiaan di sekitar ASEAN, Syria, Palestin dan Lubnan.

Mereka melalui Misi Kemanusiaan Musim Sejuk Syria telah berjaya pembinaan township dan masjid untuk pelarian Syria sekaligus merasmikan pembinaan kilang roti di negara itu.

Buat julung kalinya juga, Serantau Muslim juga menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia pertama yang menubuhkan kawasan perbandaran di negara berkenaan.

Kawasan perbandaran itu merupakan sebuah pangsapuri yang digabung dengan masjid yang mana akan menempatkan seramai 216 orang pada satu-satu masa dan terdiri daripada 18 buah blok rumah.

Masjid di dalam kawasan yang sama pula boleh memuatkan sehingga 1, 000 jemaah pada satu-satu masa. – MalaysiaGazette

Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Hakim Mohd Nor (tiga kanan) bersama Pengasas Asri Ahmad Academy, Datuk Mohd Asri Ahmad (tengah) mengaminkan bacaan doa pada Flag-off Misi Bantuan Musim Sejuk untukmu Syria 2023 di Anjung Tinjau, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 20 JANUARI 2023.

1 Komen

  1. Serantau Muslim sewajarnya bersama-sama bukan sahaja dengan pelarian Syria di Lubnan tetapi juga bersama-sama dengan pelarian Rohingya di Cox Bazar dan Pulau Bashan Char Bangladesh.

Comments are closed.