Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka rendah pada minggu dagangan akan datang yang pendek berikutan cuti umum walaupun FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akhirnya melepasi paras halangan 1,500 pada Jumaat, kata peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran diunjurkan berada pada 1,490-1,505 minggu depan.

Pada minggu ini, katanya FBM KLCI ditutup tinggi pada Jumaat sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang kukuh.

“Di peringkat serantau, indeks utama menunjukkan daya tahan walaupun jualan di Wall Street semalaman.

“Saham China dan Hong Kong meningkat berikutan People’s Bank of China mengekalkan dasar monetarinya yang tidak berubah.

“Kami melihat pembukaan semula ekonomi dan sempadan China memberi impak ekonomi yang positif kepada ekonomi serantau dan menarik pelaburan dolar AS ke rantau ini berikutan pelabur global bimbang mengenai nilai ekuiti dan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi peniaga berkata pada minggu depan, FBM KLCI akan mendapat sokongan daripada beberapa pemangkin yang positif pada minggu ini, termasuk keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Khamis.

“Seperti yang dijangka, bank pusat mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, justeru menunjukkan lebih banyak dana dijangka mula melihat kepada pasaran saham,” katanya.

Pada asas mingguan, indeks utama meningkat 5.3 mata kepada 1,500.33 pada Jumaat daripada 1,495.03 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 56.68 mata kepada 10.842.48, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 116.90 mata kepada 11,093.62 dan Indeks FBMT 100 menambah 51.21 mata kepada 10,533.78.

Indeks FBM ACE naik 100.60 mata kepada 5,556.08 dan Indeks FBM 70 meningkat 125.98 mata kepada 13,506.65.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 3.07 mata kepada 188.36 dan Indeks Perladangan berkurangan 41.49 mata kepada 6,881.42. Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 86.02 mata kepada 16,535.13 manakala Indeks Tenaga naik 22.87 mata kepada 845.81.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 14.28 bilion unit bernilai RM9.63 bilion daripada 16.92 bilion unit bernilai RM10.77 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 8.87 bilion saham bernilai RM7.42 bilion daripada 10.35 bilion saham bernilai RM8.25 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.52 bilion unit bernilai RM294.96 juta daripada 1.56 bilion unit bernilai RM354.78 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 3.88 bilion saham bernilai RM1.91 bilion daripada 5.03 bilion saham bernilai RM2.16 bilion minggu lepas.

Bursa Malaysia telah mengumumkan bahawa pengendali bursa saham itu dan semua anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin dan Selasa depan bersempena cuti Tahun Baharu Cina dan operasi akan disambung semula pada Rabu, 25 Jan 2023. – BERNAMA