Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencabar individu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu rakyat supaya muncul berbuat perkara sama terhadap pentadbiran kerajaan hari ini.

Teguran itu dibuat oleh Ismail Sabri sebagai peringataan terhadap pihak yang dianggap mudah ‘melepaskan tangan’ dengan menghukum peniaga yang dikatakan masih menjual makanan pada harga tinggi.

“Malah hari ini, lihat laporan media kalau harga makanan meningkat, boikot kedai makanan. Kenyataan seperti ini tidak membantu rakyat.

“Kalau bahan mentah meningkat, (seperti) sayur harga mahal pasti peniaga-peniaga di restoran naik harga. Kalau boikot peniaga pasti menyusahkan mereka, tak (juga) bantu mereka,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA hari ini.

Ismail Sabri ketika mengulas lanjut berkata, kerajaan sepatutnya terus melaksanakan usaha memastikan harga bahan mentah turun.

“Jadi, kerajaan patut fikir soal ini bukan kenyataan begitu mudah melepaskan tangan dan hukum pula peniaga restoran. Banyak perkara diadu rakyat perlu diambil tindakan segera kerajaan.” ujarnya.

Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilapor menggesa peniaga restoran dan kedai makan supaya menyemak harga jualan agar seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun. – MalaysiaGazette