Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki lemas manakala seorang rakannya masih hilang selepas mandi-manda di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 1.25 tengah hari.

Beliau berkata, makluman awal mendapati kedua-dua mangsa datang ke pantai itu bersama empat rakan lain menaiki motosikal dari Kluang dan kehadiran mereka di situ diketahui oleh ibu bapa masing-masing.

“Orang awam yang berada di lokasi kejadian telah membantu menyelamatkan mangsa pertama iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun namun dia disahkan telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Hussin berkata operasi mencari dan menyelamat seorang lagi remaja lelaki berusia 16 tahun yang masih hilang telah dihentikan sementara pada 7.30 malam susulan cuaca gelap dan laut dijangka bergelora akibat angin kencang pada sebelah malam.

“Operasi akan disambung semula pada 8 pagi esok,” katanya sambil menambah operasi mencari dan menyelamat itu turut dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Beliau turut menasihati orang ramai yang mengunjungi kawasan pantai bagi tujuan rekreasi air supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Ibu bapa serta penjaga yang membawa kanak-kanak juga dinasihatkan mengambil langkah sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. — BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast