Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di laluan Bukit Templer ke Selayang di sini seperti yang ditularkan di media sosial, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang diarahkan ke lokasi sebaik menerima maklumat tersebut.

Katanya, anggota bomba yang tiba di lokasi juga mendapati tiada kejadian tanah runtuh.

“Sebaliknya hanya terdapat kerja-kerja pembaikan cerun sedang dijalankan di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam rakaman suara yang tular itu, seorang lelaki mendakwa kejadian itu baharu berlaku dan meminta orang ramai yang mahu ke Jalan Kuching supaya menggunakan laluan lain. – MalaysiaGazette