Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran

KUALA LUMPUR – Presiden Makkal Sakthi menyoal rasional lantikan dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk sesi 2023-2025 apabila hanya seorang sahaja wakil India dari kalangan Punjabi dilantik.

Datuk Seri RS Thanenthiran menggesa supaya lantikan MPPK yang pada tanggapannya boleh dikaji dan ditambah memandangkan instuitusi pendidikan adalah amat penting.

Beliau tidak berniat untuk menjadikan perkara itu isu perkauman namun lebih memikirkan kepada isu bahasa.

“Saya telah mengikuti segala perkembangan berkenaan MPPK yang diumumkan baru-baru ini. Menteri Pelajaran telah menyatakan supaya tidak jadikan ini sebagai isu perkauman, hakikatnya ini bukannya merupakan isu perkauman sebaliknya berkait dengan bahasa ibunda.

”Untuk makluman, Bahasa Tamil merupakan bahasa yang tertua di dunia dan kita mempunyai 530 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negara ini. Mengikut logiknya ia haruslah diselia dan dipantau oleh mereka yang mempunyai kefasihan dan kelayakan profesional dalam bahasa ini.

“Saya langsung tidak berharap untuk bersikap rasis, saya tidak akan dapat apa-apa dengan bersikap demikian dalam negara majmuk, soalan saya, adakah seorang yang tidak mempunyai pengetahuan Bahasa Tamil dan berlatar belakang Bahasa Punjabi diberikan keutamaan?

“Mungkin juga ada kesilapan yang dilakukan kerana bukannya semua yang kita lakukan akan menjadi betul. Ada masanya tersilap. Saya merasakan kesilapan ini perlu diperbetulkan. Parti Makkal Sakti Malaysia sudah pun melakar beberapa penambahbaikkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan kelancarannya,” katanya.

Kata Thanenthiran lagi, pihaknya amat berharap KPM dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kajian lebih mendalam untuk memastikan kerajaan berupaya memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia.

Sebelum itu, KPM telah melantik sembilan anggota MPPK yang baharu dengan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dilantik sebagai pengerusi.

Dua anggota bukan Melayu adalah Datuk Dr. Mehander Singh Nahar Singh dan Chee Poh Kiem.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua yang terpilih mempunyai kepakaran dan daripada latar belakang yang pelbagai dalam bidang masing-masing. – MalaysiaGazette