islam paludan
Dusuki Ahmad (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Perbuatan biadab ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar al-Quran di Stockholm kelmarin satu penghinaan serta merobek perasaan lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia.

Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad berkata, penghinaan terhadap mana-mana agama ditolak oleh masyarakat dunia kerana ia mencetuskan pertembungan sesama manusia.

Menurut beliau, ia juga jelas bertentangan dengan etika kemasyarakatan yang menghormati hak asasi manusia untuk mengamalkan agama anutan mereka.

“Majlis Ulama UMNO menegaskan bahawa tindakan melampau ini sudah tentu menyuburkan lagi emosi kebencian sesama manusia dan merobek keamanan bermasyarakat.

“Malah ia boleh mencetuskan tindakan provokasi dan tindak balas termasuk keganasan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Perbuatan Paludan yang dapat disaksikan melalui rakaman video yang tular dalam media sosial telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Dusuki menambah, Majlis Ulama UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan Paludan itu turut menuntut kerajaan Sweden memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan masyarakat antarabangsa atas kegagalan membendung kejadian jelik tersebut daripada berlaku di negara berkenaan.

Beliau berkata, Majlis Ulama UMNO juga menyeru para ulama dan umat Islam supaya terus mendoakan agar kebenaran Islam akan terus terserlah di seluruh dunia serta memberikan keselamatan kepada penganutnya di mana sahaja mereka berada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast