Polis merampas lebih 840 kg ganja bernilai RM2.1 juta dalam serbuan di Pulau Pinang dan Perak minggu lalu.

GEORGE TOWN – Polis merampas lebih 840 kilogram (kg) ganja bernilai RM2.1 juta dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang serta Perak pada 18 dan 19 Januari lalu.

Operasi khas yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen negeri itu turut membawa kepada tangkapan tujuh lelaki termasuk seorang penjawat awam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki dalam sebuah kereta di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth.

Ganja yang dirampas dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Kata beliau, penahanan itu membawa kepada penemuan ganja bernilai RM1.1 juta di dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Bukit Jambul di sini.

“Susulan itu, kita menahan tiga lagi lelaki di kawasan Plaza Tol Changkat Jering, Perak. Polis kemudian melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta di kawasan Bayan Baru sebelum menemui 10 guni plastik berisi 361 kg ganja.

“Rentetan itu, kita menyerbu sebuah rumah di Air Itam sebelum menahan seorang lagi lelaki,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM2.1 juta dan boleh digunakan oleh 1.8 juta penagih dadah.

Turut disita tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal yang bernilai keseluruhan RM51,500.

Tambah beliau, sindiket tersebut aktif sejak awal tahun lalu dan ganja tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan. 

“Kesemua suspek direman sehingga 26 Januari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau. – MalaysiaGazette