Saarani Mohamad

IPOH – Sebanyak 27 anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang dikenal pasti tidak menunjukkan prestasi yang baik dan membebankan terpaksa ditutup bagi menjimatkan perbelanjaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, anak syarikat yang mengalami proses penutupan itu antaranya tidak menjalankan aktiviti perniagaan dan gagal memberi sumbangan kepada kerajaan negeri.

“Kita dapati ia malah membebankan syarikat induk yang terpaksa mengambil tanggungjawab membayar gaji dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Projek Piccadilly@Greentown yang disempurnakan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menyasarkan unjuran sumbangan daripada keseluruhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak RM100 juta menjelang 2030.

Sehubungan itu, katanya, kesemua GLC yang terlibat perlu melakukan perancangan teliti terhadap setiap pembangunan dan projek yang diberikan supaya memperoleh keuntungan untuk disumbangkan balik kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, mengenai beberapa projek perumahan yang terbengkalai di Perak, Saarani berkata, beliau telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching supaya bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan menangani masalah itu.

“Dalam mesyuarat Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak ada sebut beberapa syarikat yang terhenti projeknya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandamik COVID-19 dan berhadapan dengan kenaikan harga bahan binaan apabila hendak menyambung kerja, selain masalah pekerja.

“Dahulu ada peruntukkan untuk projek meroboh dan bina semula beberapa flat dalam kawasan ini tetapi tertangguh, maka kita perlu mencari peruntukan untuk membina semula kerana ia merupakan program tanggungjawab sosial bagi kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Saarani berkata, Projek Piccadilly@Greentown merupakan pembangunan kediaman dan komersial yang sistematik, mampan serta mempunyai infrastruktur lengkap dan berkualiti.

Menurutnya projek itu mampu menyemarakkan objektif pelan Perak Sejahtera 2030, sekali gus membantu dalam pembentukan komuniti yang sejahtera dan berdaya huni seiring komitmen kerajaan negeri yang mengambil pendekatan holistik dalam menyokong sektor hartanah.

“Pembangunan projek ini diyakini akan memberi impak yang positif serta inovatif untuk merangsang ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan,” katanya. – Bernama