KLANG – “Jangan buat penginapan pekerja asing seperti kandang lembu dan kerbau.”
Itu amaran Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar selepas Operasi Bersepadu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di tiga buah kilang sekitar Klang hari ini.
Beliau berkata, majikan sepatutnya menyediakan penginapan selesa kepada para pekerja asing kerana ia berkait dengan isu kemanusiaan dan tidak wajar diabaikan.
“Jadi ini adalah penting untuk kita memastikan. Ini teguran dan nasihat saya kepada semua majikan seluruh negara yang mahu pekerja asing mereka memastikan tempat penginapan yang sesuai.
“Kita perlu layan mereka seperti manusia, sebab kita diperhatikan. Bukan sahaja rakyat malah peringkat antarabangsa.
“Jangan buat macam kandang lembu kandang kerbau, jangan itu membahayakan pekerja-pekerja asing dan akan menjadi isu besar jika berlaku sesuatu musibah,” katanya kepada pemberita.
Turut serta dalam Operasi Bersepadu berkenaan, sepasukan anggota daripada Jabatan Tindakan Kerja (JTK).
Tinjauan mendapati keadaan ada penginapan pekerja asing di sini sempit, tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan membahayakan.
Malah, sebuah bilik yang sempit “disumbat” untuk enam pekerja yang tidur tanpa tilam.
Demikian keadaan penginapan pekerja asing di kilang-kilang berasaskan produk kayu dan getah berkenaan.
Malah penginapan berkenaan dibina secara haram selama hampir tiga tahun.
Menurut Sivakumar, kelonggaran membawa lebih ramai pekerja asing yang diberikan oleh kerajaan demi memenuhi keperluan tenaga pekerja tidak sepatutnya dijadikan alasan majikan mengabaikan aspek keselesaan.
“Kita longgarkan perkara itu tetapi kita perlu pastikan bila mereka datang kita pastikan mereka mempunyai tempat tinggal yang sesuai, naziran akan dibuat.
“Bukan kerana kita nak bawa lebih ramai pekerja asing masuk tapi kita beri mereka penempatan yang semberono,” tambahnya.
Demi menangani sikap sambil lewa majikan seluruh negara, Sivakumar memberi jaminan akan meningkatkan kekerapan pemeriksaan di penginapan pekerja asing di seluruh negara.
“Mungkin majikan rasa kekerapan kita buat pemeriksaan tidak cukup. Dulu kita buat sebelum beri kelulusan, sekarang kita bagi kelulusan dan selepas itu kita buat naziran (pemeriksaan) untuk pastikan pekerja asing yang masuk ke negara ini dapat penempatan yang baik diberi perhatian sewajarnya oleh pihak majikan,” katanya.
Terdahulu Sivakumar berkata, ketiga-tiga kilang tersebut beroperasi dengan tenaga pekerja asing seramai 526 orang.
Sementara itu, beliau memaklumkan pemilik ketiga-tiga kilang yang diserbu hari ini akan didakwa selepas kertas siasatan lengkap.
Majikan-majikan tersebut melakukan beberapa kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia) antaranya Seksyen 24D Akta 446 iaitu tiada Perakuan Penginapan dan juga kesalahan di bawah Peraturan 3 dan 4 akta sama.
Ketiga-tiga majikan juga didapati melakukan kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh JKKP (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja) dengan 10 kesalahan antaranya jentera boiler tiada sijil sah dan majikan juga didapati tidak mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kesalahan-kesalahan yang dikesan itu akan diambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa jabatan dan agensi terlibat, katanya. – MalaysiaGazette