Poster Hearts of Harris 2.0 oleh MS Gold.

KUALA LUMPUR – Peminat tegar komposer muzik India Selatan, Harris Jayaraj di negara ini pasti terkejut dan teruja selepas pengumuman konsert mega Hearts of Harris Live in Kuala Lumpur 2.0 bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Ini kerana Harris baharu sahaja selesai mengadakan konsert ‘Hearts of Harris’, di sini Sabtu, lepas dengan kehadiran kira-kira 10,000 hadirin membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil.

Rata-rata peminat kecewa kerana penjualan tiket hanya terhad kepada 10,000 sahaja, ini juga telah memberi inspirasi kepada penganjur yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer untuk mengadakan konsert sama dalam masa terdekat.

Kata Abdul Malik, beliau telah bercakap dengan Harris untuk mendapatkan kebenarannya untuk mengadakan konsert sekali lagi dalam masa terdekat buat peminat-peminat Malaysia.

“Konsert Harris 2.0 ini khas buat peminat yang tidak berkesempatan hadir pada persembahan beliau Sabtu lepas. Sememangnya Harris sendiri mahu adakan konsert ini dengan kapasiti lebih besar termasuklah persembahan lebih hebat gandingan artis-artis antarabangsa lain. 

“Buat masa ini, saya boleh sahkan kepada anda konsert ini akan diadakan sama ada pada bulan depan (Februari) atau selewat-lewatnya pada Mei ini, perancangan dan rundingan ke arah konsert Hearts of Harris 2.0 by MS Gold ini sudah mula bermula sejak beberapa hari ini.

“Dalam masa terdekat, saya jamin kepada anda semua, MS Gold akan membawakan satu lagi kejayaan luar biasa dan memori paling hebat untuk semua para peminat secepat mungkin, inilah harapan kita dan saya akan pastinya ianya menjadi realiti, insya-Allah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Abdul Malik mendedahkan pihaknya juga akan membawa penyanyi tersohor India yang lain antaranya Hariharan, Bombay Jaysree, Harish Ragavendra dan ramai lagi termasuk kehadiran pelakon terkenal, Mathavan.

“Semua dalam rundingan ketika ini, harapnya apa kita rancang ini dengan membawa lebih ramai bintang-bintang hebat ini akan berjaya.

“Kali ini kita akan ada juga ‘standing crowd’ lebih besar, sedang rancang pentas 360 darjah bagi menambah kapasiti, terlalu banyak permintaan jadi kita hendak buat yang terbaik. Kita akan buat di Stadium Bukit Jalil sekali lagi.

“Lagi berita baik, kemungkinan jika boleh kita sedang rancang juga Harish 3.0 di Johor Bahru, semua itu dalam perancangan demi peminat-peminat luar biasa di negara ini, Harish sendiri teruja dengan penerimaan beliau di sini,” ujarnya.

Pada Sabtu lepas, konsert Harris yang juga menjadi pembuka tirai bagi konsert India di Malaysia telah membawakan 39 lagu yang terdiri daripada melodi menggamit emosi, hits tarian dan lagu instrumental selain seramai 14 penyanyi iringan serta 16 pemuzik India bagi menjayakan malam ajaib ini.

Untuk makluman, Harris dikenali di peringkat antarabangsa menerusi album sulung, Minnale pada 2001, selain banyak menghasilkan runut bunyi bagi filem Tamil.

Dia memulakan kerjaya sebagai pemain gitar dan pernah meraih pengiktirafan serta anugerah sepanjang hayat daripada Kerajaan Tamil Nadu.

Sejak 2001, Harris memenangi pelbagai anugerah dan pernah menjalin kerjasama dengan artis Malaysia menerusi album Dhaam Dhoom dan Iru Mugan.

Selain Malaysia, Harris yang lahir pada 1975 juga bakal mengadakan konsert di Chennai dan London. – MalaysiaGazette