IPOH – Polis Perak membuka kertas siasatan berhubung video tular menunjukkan aktiviti membakar mercun dan bunga api secara besar-besaran di atas jalan raya di Kampung Baru, Simpang Pulai, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, semakan mendapati kejadian itu berlaku pada Isnin lalu kira-kira jam 8 malam.

“Kita mengesan video tular di Facebook berkaitan aktiviti pembakaran mercun dan bunga api secara besar-besaran di atas jalan raya sebelum satu laporan polis dibuat mengenainya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti berbahaya itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan Seksyen 286 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti berbahaya yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda orang awam.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 13 minit 46 saat menunjukkan  orang ramai berkumpul di kawasan perumahan dipercayai bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina sambil membakar mercun dan bunga api. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Melihat kepada keadaan sampah mercun seperti didalam gambar diatas, ianya dibakar dalam skala besar2an dan amat membahayakan nyawa dan menganggu ketenteraman orang awam. Skala bergini kebiasaannya memerlukan permit khas polis.

    Harap pihak polis dapat menyiasat dengan segera.

Comments are closed.