Aaron Wan-Bissaka. Foto TalkSPORT.

LONDON – Bek kanan, Aaron Wan-Bissaka dilaporkan akan terus kekal bersama Manchester United selepas jendela perpindahan bulan ini.

Sebelum ini, spekulasi mengenai masa depan Wan-Bissaka menjadi bualan peminat di Old Trafford.

Apatah lagi pengendalinya, Erik Ten Hag pernah berkata, pemain itu tidak akan terjamin kedudukannya sebagai bek kanan pilihan utama.

Malah Wan Bissaka turut kehilangan tempat kepada Diogo Dalot yang dilihat lebih sesuai dengan corak taktikal Ten Hag.

Wan-Bissaka kemudian diberitahu bahawa kelab sedia untuk melepaskannya jika pemain itu mahu menyertai kelab lain.

Namun dengan syarat Man United mendapat harga yang tinggi apabila United dilaporkan meletakkan tanda harga sekurang-kurangnya £50 juta untuk pemain itu.

Bagaimanapun tiada kelab sanggup membayar Wan-Bissaka jumlah sebesar itu pada musim panas yang lalu.

Dan kini, Wan-Bissaka sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan pada musim sejuk ini di mana kali ini United dikatakan sedia mendengar tawaran bermula £25 juta untuk pemain tersebut.

Bekas kelabnya, Crystal Palace dilaporkan berminat untuk membawanya pulang dari United.

Selain daripada Palace, kelab seperti West Ham dan Wolves juga dikatakan berminat dengan Wan-Bissaka.

Namun menurut laporan terbaru oleh SkySports melaporkan bahawa United kelihatan bakal mengubah pendirian mereka tentang pemain itu.

Hal ini kerana, Wan-Bissaka menunjukkan peningkatan ketara dalam sistem permainan taktikal Ten Hag dan dia dijangka terus kekal bersama United. – MalaysiaGazette