Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN- Seorang wanita mengalami kerugian lebih RM50,000 akibat terpedaya dengan pelaburan produk makanan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa telah dijanjikan pulangkan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga hari.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang telah menerima laporan Polis dari Daerah Kuantan berkenaan mangsa terpedaya dengan pelaburan yang tidak wujud melalui aplikasi Telegram.

“Mangsa berusia 28 tahun telah terpedaya dengan satu iklan pelaburan di aplikasi Telegram di mana pelaburan tersebut menawarkan keuntungan sebanyak 10% daripada pelaburan dalam tempoh tiga hari pada 13 Disember 2022 lalu.

“Hasil perbincangan, mangsa bersetuju untuk melabur dan telah membuat lima kali transaksi ke dalam empat akaun yang berbeza sehingga mengalami kerugian sebanyak RM51,806,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wanita berkenaan yang merasakan tertipu membuat laporan polis di balai, ujarnya.

Berikutan itu, Ramli menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan atau mendapatkan maklumat daripada agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai langkah pencegahan daripada menjadi mangsa pelaburan tidak wujud. – MalaysiaGazette