Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memfailkan permohonan supaya pasportnya yang kini dalam tahanan Mahkamah Tinggi di sini sejak lima tahun lalu dikembalikan.

Untuk makluman, pasport Ahmad Zahid ditahan oleh mahkamah pada tahun 2018 selepas beliau berdepan dengan pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid memohon pasport itu dikembalikan kepadanya secara kekal supaya ia tidak menjadi kekangan kepada beliau untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet ketika ini.

Dalam afidavitnya, beliau berkata, permohonan itu juga diperlukan untuk membolehkan Jabatan Imigresen memproses permohonan beliau untuk mendapatkan pasport diplomatik bagi memudahkan perjalanan keluar dan masuk negara.

Selain itu, beliau juga telah memohon perintah mahkamah agar penyerahan pasport sebagai syarat jaminan tambahan diketepikan manakala jumlah jaminan RM2 juta dikekalkan.

“Saya menerima mandat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara. Ini untuk melancarkan pergerakan dan urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri, saya dikehendaki berada di dalam dan di luar negara yang mana saya percaya perkara tersebut memerlukan pasport berada dalam pegangan saya sendiri.

“Saya tidak berniat melarikan diri atau tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah kerana saya masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik di Malaysia serta ahli keluarga saya kesemuanya berada di sini,” katanya.

Ahmad Zahid telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 2 Disember 2022 dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Media dimaklumkan Ahmad Zahid telah memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq pada 20 Januari lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Februari ini untuk satu lagi pengurusan kes.

Ahmad Zahid muncul kali pertama di Mahkamah Tinggi di sini selepas bergelar Timbalan Perdana Menteri bagi menghadapi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi pada 16 Januari lepas.

Kali terakhir beliau hadir prosiding perbicaraan di ibu negara ialah pada 22 November 2022 pada peringkat pembelaan sebelum kes ditangguhkan ke hari tersebut.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM). -MalaysiaGazette