Tindakan Rasmus Paludan membakar naskhah al-Quran membangkitkan kemarahan umat Islam dunia termasuk kerajaan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar telah memanggil Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden pagi ini untuk menegaskan kembali kecaman keras kerajaan Malaysia terhadap tindakan keji Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran di Stockholm pada Sabtu lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan kepada media petang ini, kementerian itu telah menyampaikan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan berterusan pihak berkuasa Sweden untuk mengambil tindakan ke atas Paludan.

Ini katanya, membolehkan Paludan meneruskan perbuatan terkutuk itu termasuk insiden yang sama pada April tahun lalu, walaupun mendapat tentangan daripada masyarakat antarabangsa.

“Kementerian ini telah menggesa pihak berkuasa Sweden supaya mengambil langkah serius untuk menentang sebarang unsur keganasan dan kebencian terhadap Islam di Sweden.

“Perbuatan ini akan menjejaskan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia yang berbilang agama sekiranya islamofobia dan xenofobia terus berleluasa,” katanya.

Kementerian itu turut mengambil maklum mengenai sesi taklimat oleh Timbalan Menteri Luar Sweden, Jan Knutsson Isnin lalu di Kementerian Luar Sweden.

Taklimat itu dihadiri wakil kedutaan dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Stockholm termasuk Malaysia.

“Kementerian ini menggesa kerajaan Sweden mengambil inisiatif yang kukuh bagi menyelaras pendirian mereka dalam menghormati masyarakat Islam secara menyeluruh.

“Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden di Kuala Lumpur juga mengambil maklum bantahan kerajaan Malaysia dan akan menyampaikannya kepada Stockholm,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette