Gambar hiasan

KUANTAN – Empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Rompin bagi menempatkan 286 mangsa banjir daripada 84 keluarga selepas hujan berterusan sejak semalam.

Menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat PPS yang dibuka itu ialah Balai Raya Bandar Perwira Jaya membabitkan tujuh mangsa,  dan 117 mangsa ditempatkan di PPS Bukit Setajam.

Manakala PPS di Balai Raya Bukit Lepas terdapat 40 mangsa dan Balai Raya Rekoh pula seramai menempatkan 122 mangsa.

Sehingga jam 7.14 pagi ini, pecahan mangsa di PPS termasuk 32 warga emas, lapan bayi, dua orang kurang upaya (OKU).

Laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan paras sungai di Rompin melepasi paras amaran pada jam 7.30 pagi.

Manakala Stesen Sungai Keratong di jam Bahau Keratong pula berada di paras amaran iaitu 24.68 meter.

Tujuh sungai pula merekodkan paras waspada berikutan hujan lebat berterusan di beberapa daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran dan Temerloh. – MalaysiaGazette