PUTRAJAYA – Kedudukan Malaysia di tangga ke-36 dalam laporan Global Innovation Index (GII) 2022 boleh ditambah baik sekiranya lebih ramai usahawan dan golongan seni mendaftarkan harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, melalui Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM2 juta, diharapkan dapat menggalakkan orang ramai mempatenkan produk mereka.
“Saya rasa dengan kita memberikan dana Daya ini akan menggalakkan lebih ramai memfailkan hasil karya mereka.
“Kita akan bantu mereka sama ada untuk komersilkan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Tapi ini memerlukan kerjasama dengan kementerian-kementerian lain untuk mendapat manfaat dan menaikkan ranking kita di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di sini, hari ini.
Menurut Global Innovation Index 2022, Malaysia berada di kedudukan ke-36 dari keseluruhan 132 negara.
Antara penanda aras yang diambil kira dalam mengukur dan menentukan kedudukan ini adalah jumlah pemfailan paten, perbaharuan utiliti, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian di Malaysia.
Dalam pada itu, MylPO telah merekodkan sebanyak 329,917 permohonan harta intelek dari dalam dan luar negara pada 2022.
“Dari jumlah tersebut, 128,822 adalah permohonan harta intelek tempatan.
“Ini secara tidak langsung menunjukkan sikap ambil berat para usahawan terutamanya sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terhadap perlindungan harta intelek,” katanya.
Jelasnya, cap dagangan merupakan komponen harta intelek yang menerima permohonan paling banyak pada setiap tahun di Malaysia iaitu lebih daripada 80 peratus.
“Ini sudah tentu, memandangkan cap dagangan amat berkait rapat dengan sesebuah perniagaan iaitu jenama bagi sesuatu produk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette