Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Exco Exco Luar Bandar di KKDW, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan mempertimbangkan untuk menyelaras elaun bulanan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), bersesuaian dengan peredaran masa dan bebanan tugas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ketika ini, elaun berkenaan berbeza mengikut negeri dengan Selangor menyediakan elaun tertinggi iaitu RM1,500 diikuti Johor RM1,200.

“Sebolehnya kerajaan memang mahu menaikkan elaun mereka, tetapi kena memahami kedudukan ekonomi negara,” katanya perkara berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco Luar Bandar (MEXCLUB), yang dipengerusikannya di sini hari ini.

Buat masa ini, terdapat 15,434 orang JPKK dan JPKKP di seluruh negara.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MEXCLUB edisi ke-55 itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut membincangkan pelbagai isu bagi memperkasa agenda pembangunan luar bandar, antaranya meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infra luar bandar.

Turut dibincangkan ialah usaha memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), yang ditawarkan institusi pendidikan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahmad Zahid turut menetapkan agar mesyuarat MEXCLUB itu yang turut melibatkan exco luar bandar, wakil Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri serta agensi KKDW, diadakan tiga kali setahun.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan beberapa agensi berkaitan telah memobilisasikan aset masing-masing ke lokasi terjejas akibat banjir.

Setakat 2 petang ini, Sabah mencatatkan mangsa tertinggi banjir iaitu seramai 6,331 mangsa, diikuti Johor dengan 5,476 mangsa, Pahang (320) dan Sarawak 56 mangsa. – Bernama